☛ Ekonomi berkembang 9.5 peratus ~ BERITA HARIAN 19/8/2010

KDNK tumbuh di luar jangkaan

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berkembang 9.5 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini selepas mengekalkan pertumbuhan kukuh sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua (April hingga Jun lalu), dipacu peningkatan berterusan permintaan domestik dan eksport sektor perkilangan.

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) itu adalah di luar jangkaan dan mengatasi unjuran penganalisis yang menjangka pertumbuhan pada suku kedua adalah antara 8.1 peratus hingga 8.5 peratus. Pada suku pertama (Januari hingga Mac lalu), ekonomi negara berkembang 10.1 peratus.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata permintaan domestik lebih kukuh berikutan perbelanjaan sektor swasta dan kerajaan yang lebih tinggi, manakala peningkatan permintaan luar negara merangsang sektor pembuatan di Malaysia.

Perbelanjaan swasta meningkat 7.9 peratus pada suku kedua disokong keadaan pasaran pekerjaan yang menggalakkan, inflasi yang lebih rendah dan paras pendapatan pengguna yang lebih tinggi, katanya ketika mengumumkan prestasi ekonomi suku kedua 2010 di sini, semalam. 

Zeti berkata, sektor awam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi menerusi perbelanjaan kerajaan yang meningkat 6.9 peratus pada suku berkenaan berikutan perbelanjaan emolumen yang lebih tinggi.

Perbelanjaan modal sektor awam menjadi pendorong tambahan kepada ekonomi domestik, dengan sebahagian besar daripada perbelanjaan pembangunan disalurkan ke dalam sektor pendidikan dan pengangkutan, katanya.

Zeti menjelaskan hampir semua sektor utama ekonomi berkembang kukuh pada suku kedua tahun ini dengan diterajui bidang pembuatan yang meningkat 15.9 peratus, perkhidmatan (7.3 peratus), pembinaan (4.1 peratus), pertanian (2.4 peratus) dan perlombongan (1.9 peratus). 
Pertumbuhan kukuh sektor pembuatan dipacu permintaan yang lebih tinggi bagi barangan elektrik dan elektronik, produk kimia dan barangan berasaskan getah, katanya.

Selain itu, Zeti berkata, pada suku kedua tahun ini Malaysia menerima pelaburan langsung asing (FDI) kasar berjumlah RM4.7 bilion, disalurkan terutama ke dalam industri elektrik dan elektronik serta yang berkaitan petroleum.

Pelaburan langsung ke luar negara oleh syarikat Malaysia pula berjumlah RM2.5 bilion, terutama untuk pelaburan dalam sektor perkhidmatan serta minyak dan gas, katanya.

Dari segi aktiviti pembiayaan pula, Zeti berkata, ia terus bertambah baik kerana pinjaman terus tersedia bagi semua segmen ekonomi.

Dasar monetori yang menyokong pertumbuhan ekonomi turut mendorong kepada peningkatan pembiayaan, katanya.

Mengenai tinjauan ekonomi untuk sepanjang tahun ini, Zeti berkata, ekonomi domestik dijangka terus kukuh pada separuh kedua tahun ini disokong oleh permintaan swasta yang memberangsangkan.

Meskipun perkembangan di luar negara boleh menyebabkan kadar pertumbuhan menjadi sederhana, namun keadaan pekerjaan yang menggalakkan, sentimen pengguna dan perniagaan yang terus positif dalam negara membolehkan Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi melebihi enam peratus tahun ini, katanya. 

Beliau bagaimanapun berkata, angka unjuran pertumbuhan ekonomi bagi 2010 dijangka diumumkan ketika pembentangan Bajet 2011. 

nota noti : kalo ekonomi bkembang, agak2 sape2 kije gomen leh dpt BONUS x ini TAWON?? ade? ade? mcm x dpt nk bau je wit bonus. muekekekeke.. (◑‿◐)

Comments

Popular posts from this blog

PERTANDINGAN KOLAJ ANJURAN PERPUSTAKAAN JPS 24/3/2017

HAPPY 13TH ANNIVERSARY